Thursday, July 24, 2008

Kemahiran Menyoal Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

oleh
Razali Ayob

Menyoal atau bersoal jawab sering menimbulkan masalah kepada pelajar-pelajar sama ada dalam kelas KBSR ataupun KBSM. Apabila pelajar ditanya sama ada mereka mempunyai soalan atau tidak, mereka akan berdiam diri atau memberitahu tidak mempunai soalan. Adakah benar pelajar-pelajar tidak mempunyai soalan untuk ditanya tidaklah dapat dipastikan. Namun satu soalan yang boleh ditimbulkan disini ialah adakah guru telah mengajar kemahiran menyoal kepada pelajar-pelajar di dalam kelas?

Bertanya atau Menyoal?

Salah satu perkara yang penting ketika berkomunikasi ialah aktiviti bertanya dan menyoal. Kemahiran bertanya dan menyoal bukan sekadar untuk kita mendapatkan sesuatu maklumat tetapi dapat membantu kita membina iklim komunikasi yang positif dan memupuk sikap saling memahami dan bekerjasama. Dalam hal ini bertanya dan menyoal sebenarnya mempunyai makna yang berbeza.

Lihat contoh berikut;

1 a) Harga kereta baru kamu berapa?
b) Berapakah harga kereta baru kamu?

2 a) Ahmad, kenapa kamu selalu datang lambat?
b) Kenapa cikgu nak tahu?

Ayat 1(a) dan 1(b) merupakan ayat tanya yang ditandai dengan kata tanya dan tanpa kata tanya. Kedua-dua ayat tersebut diucapkan dengan maksud cuba mendapatkan maklumat.

Sebaliknya ayat 2(a) dan 2(b) walaupun ayat tanya tetapi tanpa kita sedari ayat-ayat tersebut lebih berbentuk menyoal, menyalah atau cuba menuduh. Agaknya apa perasaan anda?

Bila bertanya kita tidak mungkin menyakiti hati orang yang kita tanya. Sedapat mungkin kita cuba menjaga hubungan kita. Kita mahu komunikasi kita berada dalam iklim atau suasana yang selesa dan menyenangkan.

Lihat contoh berikut:

3 a) Kenapa kamu tak telefon saya, kamu datang lambat?
b) Apa sebab kamu beli barang yang tak diperlukan?
c) Kamu tak tahukah cikgu sibuk?

Ayat-ayat di atas kelihatan seperti bertanya kerana ditandai dengan tanda tanya dan kata tanya. Jika anda seorang pelajar yang “ditanya” oleh guru anda, apa perasaan anda. Tentu sahaja anda akan terasa tersinggung kerana guru anda “menyalahkan” atau “menuduh” anda datang lambat tanpa bertanya sebabnya terlebih dahulu. Ayat-ayat seperti di atas adalah ayat menyoal dan bukannya bertanya. Yang membezakan makna bertanya dan menyoal ialah fungsi pertanyaan itu sendiri.

Ada dua jenis pertanyaan, iaitu pertanyaan tertutup dan pertanyaan terbuka. Pertanyaan terbuka tidak memadai hanya dijawab “ya” atau”tidak “ sahaja.

Contoh4
a) Cikgu bercadang hendak mengadakan lawatan ke Pulau Pinang masa cuti pertengahan tahun. Apa pendapat kamu semua?
b) Mengapa agaknya masalah disiplin pelajar semakin teruk ketika ini?

Pertanyaan tertutup pula memerlukan jawapan yang tegas, tepat dan “ya” atau “tidak”

Contoh5
a) Sudah berapa lama kamu tinggal dengan nenek?”
b) Apa yang membuat kamu nampak risau?”
c) Ada atau tidak cadangan lain yang boleh kita kemukakan kepada pihak sekolah?
d) Adakah kamu semua setuju Karim dilantik sebagai ketua kelas?

Ayat 5 a) dituturkan dengan maksud untuk mendapatkan fakta, ayat 5 b) pula untukmengetahui perasaan. Bentuk pertanyaan seperti Ayat 5 c) biasanya jika kita cuba mencari maklumat tambahan, membuat pemerincian atau mencari perbezaan pendapat. Ayat 5 d) pula lebih bercorak cuba menguji sikap, perasaan atau pendiriaan seseorang.

Dalam hal ini seseorang penutur perlu bijak memanipilasi bentuk kata tanya. Apa yang penting elak diri daripada menyinggung perasaan seseorang.

2 comments:

nor azlina mat lazih said...

Soalan merupakan sebarang bentuk atau fungsi ayat yang mengandungi pertanyaan. Dalam persekitaran bilik darjah, soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru kepada para pelajar boleh didefinisikan sebagai suatu kaedah instruksi atau rangsangan yang mengandungi elemen-elemen yang boleh dipelajari dan mempunyai arah tuju bagi membantu pelajar untuk belajar (http://www.nwrel.org/scpd/sirs/3/cu5.html). Manakala teknik penyoalan pula merupakan satu teknik yang digunakan dengan meluas oleh guru dalam usaha menyampaikan fakta, konsep dan prinsip sesuatu bidang ilmu serta meningkatkan pemikiran pelajar ke tahap yang lebih tinggi (http://peoplelearn.homestead. com/Penyelidikan/Bab2LiterB.html).

Sejak beribu-ribu tahun dahulu, guru telah menggunakan kemahiran penyoalan untuk menyampaikan pelbagai ilmu sama ada di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, mahu pun di universiti. Dalam satu kajian awal oleh Stevens (1912), didapati bahawa guru memperuntukkan 80% masa di sekolah menyoal pelajar. Kajian yang dijalankan oleh Leven dan Long (1981) mendapati guru bertanya 300 hingga 400 soalan sehari. Menurut Morgan dan Saxton (1991), penyoalan oleh guru adalah bertujuan untuk melibatkan pelajar supaya lebih aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran sambil menilai pembelajaran dan membuka peluang untuk pelajar memberi pendapat dan buah fikiran mereka. Disamping itu, soalan guru juga adalah untuk mengetahui keadaan pelajar pada masa itu yang melambangkan sikap mengambl berat. Soalan yang dikemukakan oleh guru memainkan peranan penting dalam bilik darjah untuk memberi pelajar peluang membina ilmu atau pengetahuan melalui asimilasi dan integrasi konsep-konsep baru (Hauser, 1990).

Untuk mempertingkatkan kefahaman, pelajar tidak boleh dibiarkan pasif dalam bilik darjah dan perlu digalakkan lebih aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan memberi rangsangan menerusi penyoalan oleh guru (Davis dan Murrell, 1994: http://peoplelearn.homestead.com/Penyelidikan/Bab2LiterB.html). Tujuan penggunaan teknik penyoalan ini juga adalah untuk memberi peluang kepada guru untuk bertindak balas terhadap respon pelajar. Apabila pelajar memberi respon terhadap soalan, guru secara tidak langsung boleh menilai tahap pemahaman pelajar dan dengan ini, guru dapat memperbaiki teknik penyampaian pengajaran pada masa tersebut dan juga boleh merangka aktiviti pengayaan atau pemulihan bagi membantu mempertingkatkan potensi pelajar. Bagi menjamin penglibatan pelajar, soalan-soalan harus disebar secara adil. Soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru hendaklah jelas, mudah, difahami dan juga mencabar. Guru perlu mengemukakan soalan-soalan yang berkaitan dengan pengalaman pelajar di samping menggunakan teknik menyoal yang tidak membebankan mereka. Semua jawapan pelajar hendaklah diterima secara sewajarnya dan pada akhir sesuatu isu itu dibincangkan barulah ditegaskan jawapan yang paling tepat.

Berdasarkan kepada perkara di atas saya sangat bersetuju bahawa seseorang guru itu perlu bijak mamanipilasi bentuk kata tanya serta perlu mengelak diri daripada menyinggung perasaan seseorang. ini kerana berdasarkan pada pengalaman semasa menjadi murid, pertanyaan guru itu kadangkala boleh menyinggung perasaan kerana lebih bersifat menuduh, mengancam dan mengesyaki. Walhal sebarang penjelasan masih belum didengar oleh guru itu. Semasa zaman persekolahan, murid akan lebih gemar berinteraksi serta mudah berkongsi sesuatu dengan seorang guru yang pandai bermain dengan kata-kata. 'Bermain dengan kata-kata' disini bukanlah bermaksud ayat yang begitu banyak lewahnya tetapi guru yang pandai menggunakan 'interaksi psikologi'. Seperti pada peringkat pertama, beliau akan cuba mendekatkan diri dengan kita dengan bertanya khabar. Kemudian, beliau cuba dengan nada yang perlahan tetapi bersifat tegas bagi mencungkil permasalahan yang dihadapi oleh murid. Pada pendapat saya, kemahiran berkomunikasi dalam bentuk pertanyaan harus dikuasai oleh seseorang guru.

norelina said...

Kemahiran menyoal dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran merupakan antara suatu perkara yang penting dalam menguasai ilmu pengetahuan. Dalam bilik darjah, setiap pelajar akan mengemukan soalan kepada guru bertujuan untuk memahami setiap konsep yang disampaikan oleh guru semasa didalam kelas. melalui teknik penyoalan ini, guru akan menerangkan isi - isi penting agar pelajar dapat memahami serta membolehkan pelajar meningkatkan pemikiran mereka ketahap yang lebih tinggi. Melalui teknik penyoalan ini pelbagai ilmu dapat dikuasai oleh setiap pelajar sama ada di peringkat pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menegah mahupun di IPT -IPT. Melalui teknik seperti ini juga dapat membantu pelajar supaya bergiat secara aktif dalam menguasai bidang ilmu dengan lebih giat lagi. Guru juga perlulah mengemukan soalan kepada pelajar agar pelajar dapat berfikir mengenai topik yang dipelajari mereka supaya mereka dapat memahami dengan mudah dan berkesan. Oleh itu kemahiran menyoal dalam pengajaran dan pembelajaran amat penting dapat bidang pendidikan.