Sunday, October 12, 2008

Friday, September 12, 2008

Forum 5

Ada sebuah peribahasa Arab yang menyebut,
orang besar bercakap fasal idea,
orang kurang besar bercakap fasal peristiwa,
orang kecil bercakap fasal orang lain, dan
orang paling kecil bercakap fasal dirinya.

Tafsirkan peribahasa berkenaan.

Forum 4

Bincangkan penggunaan kata ganti nama aku, saya, engkau, dia, kita, mereka, kamu dan awak dalam budaya berbahasa, khususnya dalam latar masyarakat tempat asal atau keturunan anda.

Monday, September 1, 2008

Forum 3

Hasilkan 2 rangkap pantun empat kerat yang bertemakan motivasi untuk kanak-kanak.

Tuesday, August 5, 2008

Forum 2

Mengapakah ramai pelajar kita lemah dalam bacaan? Cadangkan satu langkah untuk mengatasi masalah ini.

Thursday, July 24, 2008

Kemahiran Menyoal Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

oleh
Razali Ayob

Menyoal atau bersoal jawab sering menimbulkan masalah kepada pelajar-pelajar sama ada dalam kelas KBSR ataupun KBSM. Apabila pelajar ditanya sama ada mereka mempunyai soalan atau tidak, mereka akan berdiam diri atau memberitahu tidak mempunai soalan. Adakah benar pelajar-pelajar tidak mempunyai soalan untuk ditanya tidaklah dapat dipastikan. Namun satu soalan yang boleh ditimbulkan disini ialah adakah guru telah mengajar kemahiran menyoal kepada pelajar-pelajar di dalam kelas?

Bertanya atau Menyoal?

Salah satu perkara yang penting ketika berkomunikasi ialah aktiviti bertanya dan menyoal. Kemahiran bertanya dan menyoal bukan sekadar untuk kita mendapatkan sesuatu maklumat tetapi dapat membantu kita membina iklim komunikasi yang positif dan memupuk sikap saling memahami dan bekerjasama. Dalam hal ini bertanya dan menyoal sebenarnya mempunyai makna yang berbeza.

Lihat contoh berikut;

1 a) Harga kereta baru kamu berapa?
b) Berapakah harga kereta baru kamu?

2 a) Ahmad, kenapa kamu selalu datang lambat?
b) Kenapa cikgu nak tahu?

Ayat 1(a) dan 1(b) merupakan ayat tanya yang ditandai dengan kata tanya dan tanpa kata tanya. Kedua-dua ayat tersebut diucapkan dengan maksud cuba mendapatkan maklumat.

Sebaliknya ayat 2(a) dan 2(b) walaupun ayat tanya tetapi tanpa kita sedari ayat-ayat tersebut lebih berbentuk menyoal, menyalah atau cuba menuduh. Agaknya apa perasaan anda?

Bila bertanya kita tidak mungkin menyakiti hati orang yang kita tanya. Sedapat mungkin kita cuba menjaga hubungan kita. Kita mahu komunikasi kita berada dalam iklim atau suasana yang selesa dan menyenangkan.

Lihat contoh berikut:

3 a) Kenapa kamu tak telefon saya, kamu datang lambat?
b) Apa sebab kamu beli barang yang tak diperlukan?
c) Kamu tak tahukah cikgu sibuk?

Ayat-ayat di atas kelihatan seperti bertanya kerana ditandai dengan tanda tanya dan kata tanya. Jika anda seorang pelajar yang “ditanya” oleh guru anda, apa perasaan anda. Tentu sahaja anda akan terasa tersinggung kerana guru anda “menyalahkan” atau “menuduh” anda datang lambat tanpa bertanya sebabnya terlebih dahulu. Ayat-ayat seperti di atas adalah ayat menyoal dan bukannya bertanya. Yang membezakan makna bertanya dan menyoal ialah fungsi pertanyaan itu sendiri.

Ada dua jenis pertanyaan, iaitu pertanyaan tertutup dan pertanyaan terbuka. Pertanyaan terbuka tidak memadai hanya dijawab “ya” atau”tidak “ sahaja.

Contoh4
a) Cikgu bercadang hendak mengadakan lawatan ke Pulau Pinang masa cuti pertengahan tahun. Apa pendapat kamu semua?
b) Mengapa agaknya masalah disiplin pelajar semakin teruk ketika ini?

Pertanyaan tertutup pula memerlukan jawapan yang tegas, tepat dan “ya” atau “tidak”

Contoh5
a) Sudah berapa lama kamu tinggal dengan nenek?”
b) Apa yang membuat kamu nampak risau?”
c) Ada atau tidak cadangan lain yang boleh kita kemukakan kepada pihak sekolah?
d) Adakah kamu semua setuju Karim dilantik sebagai ketua kelas?

Ayat 5 a) dituturkan dengan maksud untuk mendapatkan fakta, ayat 5 b) pula untukmengetahui perasaan. Bentuk pertanyaan seperti Ayat 5 c) biasanya jika kita cuba mencari maklumat tambahan, membuat pemerincian atau mencari perbezaan pendapat. Ayat 5 d) pula lebih bercorak cuba menguji sikap, perasaan atau pendiriaan seseorang.

Dalam hal ini seseorang penutur perlu bijak memanipilasi bentuk kata tanya. Apa yang penting elak diri daripada menyinggung perasaan seseorang.

Wednesday, June 11, 2008

Tugasan

Tugasan Individu 50%
1. Esei 1(ULASAN BAHAN BACAAN) 5%
2. Esei 2 (KRITIKAN KARYA KREATIF) 5%
3. Persembahan Individu 5%
4. Penghasilan karya kreatif 15%
5. Portfolio (akhir kursus) 20%

Tugasan Berkumpulan 50%
1. Penyelidikan berkumpulan 20%
2. Laporan penyelidikan 5%
3. Persembahan Berkumpulan 5%
4. Penghasilan produk/modul 20%

JUMLAH 100%

Bacaan

Abdullah Hassan, Ainon Mohd.2005. Mendorong Kreativiti Kanak-Kanak. PTS Millennia Sdn Bhd.
Lyons,J. 1992. Bahasa dan Linguistik: Suatu Pengenalan. Terj. Ramli Salleh dan Toh Kim Hoi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mus Chairil Samani, 1997. Penulisan Rencana Berkesan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Pusat Perkembangan Kurikulum. 2005. Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan
Safiah Osman, 1990. Membaca Satu Pengenalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.
Sohaimi Abdul Aziz. 1998. Membentuk kecerdasan emosi kanak-kanak melalui kesusasteraan kanak-kanak. Pulau Pinang: Penerbit USM.

Penilaian

Kerja kursus 100%
Tiada peperiksaan akhir.

Kandungan kursus

1) Mengenal pasti ciri-ciri/kriteria teknik membaca yang sesuai untuk kanak-kanak.
2) Mengenal pasti ciri-ciri/kriteria penulisan karya kanak-kanak.
3) Menilai dan mengkritik gaya pembacaan dan karya prosa kanak-kanak Bahasa Melayu.
4) Menilai dan mengkritik gaya pembacaan dan karya puisi kanak-kanak Bahasa Melayu.
5) Membincangkan ciri-ciri penting, menghasilkan dan menulis komen tentang hasil sajak kanak-kanak dan mendeklamasikan sajak.
6) Membincangkan ciri-ciri penting pantun, menghasilkan pantun, menulis komen tentang hasil pantun kanak-kanak dan mengungkapkannya.
7) Membincangkan ciri-ciri penting syair, menghasilkan, menulis komen tentang hasil syair kanak-kanak dan melagukan atau mengungkapkannya.
8) Membincangkan ciri-ciri penting cerpen, menghasilkan cerpen, berbincang dan menulis komen tentang hasil cerpen dan mengungkapkannya.
9) Membincangkan ciri-ciri penting, menghasilkan dan menulis komen serta ulasan pelbagai rencana/ulasan kanak-kanak.
10) Membincangkan ciri-ciri penting rencana penyelidikan kanak-kanak dan menghasilkan pelbagai rencana penyelidikan kanak-kanak.
11) Membincangkan ciri-ciri penting dan menghasilkan teks bukan linear (jadual), berbincang dan menulis komen tentang teks bukan linear dan cara mengungkapkannya
12) Membincangkan ciri-ciri penting dan menghasilkan pelbagai teks bukan linear (carta), berbincang dan menulis komen tentang teks bukan linear dan cara mengungkapkannya
13) Membincangkan ciri-ciri penting dan menghasilkan pelbagai teks bukan linear (iklan), berbincang dan menulis komen tentang teks bukan linear dan cara mengungkapkannya.
14) Membincangkan ciri-ciri penting dan menghasilkan lirik lagu tradisional, berbincang dan menulis komen tentang lirik dan lagu tradisional dan menyanyikan.

Hasil pembelajaran

1) Memahami teori, pendekatan, kaedah dan strategi membaca dan mengarang pelbagai prosa dan puisi kanak-kanak yang terpilih.
2) Membaca dan menilai dengan kritis teknik pembacaan dan mutu sesebuah prosa dan puisi kanak-kanak secara akademik.
3) Menghasilkan pelbagai teknik pembacaan dan karya kanak-kanak yang bermutu dalam pelbagai bidang prosa dan puisi yang terpilih.
4) Mempersembahkan hasil karya kanak-kanak berdasarkan satu teknik persembahan yang menarik.
5) Bekerja secara berpasukan untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan.

Sinopsis kursus

Kursus ini memberi pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar tentang selok belok kaedah dan kemahiran membaca dan menulis karya kanak-kanak dalam BM. Pelajar akan didedahkan prinsip dan kriteria untuk menilai teknik bacaan dalam karya BM yang bermutu untuk digunakan dalam pengajaran. Melalui pengetahuan dan kemahiran ini pelaar dapat menghasilkan beberapa teknik membaca dan mengarang karya mereka sendiri dalam bidang prosa dan puisi BM khusus untuk tahap sekolah rendah